Pernah dengar orang kata, “jangan makan manis sangat, nanti kena kencing manis”?

Ayat itu tidak salah sepenuhnya. Tetapi kalau kita mahu faham kencing manis jenis 2 dengan lebih tepat, kita tidak boleh tengok gula sahaja. Gula tinggi itu tanda yang kita nampak di permukaan. Di bawahnya ada sistem badan yang sudah lama terganggu: insulin, makanan, usus, keradangan, otot, berat badan, stres, tidur, hormon, vitamin, mineral dan cara hidup harian.

Dalam bahasa mudah, diabetes ialah keadaan apabila paras gula dalam darah menjadi tinggi kerana badan tidak menghasilkan insulin yang cukup atau badan tidak dapat menggunakan insulin dengan baik. Insulin boleh kita faham sebagai kunci yang membantu gula masuk ke dalam sel untuk digunakan sebagai tenaga.

Bila kunci ini tidak cukup, atau pintu sel tidak lagi memberi respons dengan baik, gula mula tinggal lama dalam darah. Dari situlah bacaan gula menjadi tinggi. Bila keadaan ini berpanjangan, ia boleh memberi kesan kepada salur darah, saraf, mata, buah pinggang, jantung dan kaki.

jenis-1-jenis-2-diabetes Kencing Manis Jenis 2: Protokol Rawatan Alami

Apa beza diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2?

Diabetes jenis 1 berlaku apabila badan tidak menghasilkan insulin yang cukup. Dalam keadaan ini, tubuh seolah-olah kehilangan kemampuan menghasilkan insulin sendiri dengan baik. Sebab itu pesakit diabetes jenis 1 biasanya sangat bergantung kepada insulin.

Diabetes jenis 2 pula berbeza. Dalam diabetes jenis 2, badan biasanya masih menghasilkan insulin, tetapi sel badan tidak lagi memberi respons dengan baik. Keadaan ini selalu disebut sebagai rintangan insulin. Dalam bahasa mudah, insulin ada, tetapi badan sudah kurang dengar arahan insulin.

Artikel ini saya fokuskan kepada diabetes jenis 2 kerana inilah jenis yang banyak berkait dengan gaya hidup, berat badan, makanan, pergerakan, stres, tidur, keradangan dan keadaan metabolik badan.

statistik-diabetes-malaysia Kencing Manis Jenis 2: Protokol Rawatan Alami

Statistik diabetes di Malaysia

Di Malaysia, isu diabetes bukan kecil. Berdasarkan National Health and Morbidity Survey 2023, sekitar 15.6% orang dewasa di Malaysia mempunyai diabetes. Ini lebih kurang 1 daripada 6 orang dewasa.

Lebih membimbangkan, 2 daripada 5 orang dewasa yang ada diabetes tidak tahu bahawa mereka sebenarnya ada diabetes. Maksudnya ramai orang mungkin hidup seperti biasa, tetapi bacaan gula mereka sudah bermasalah.

Dalam laporan yang sama, lebih separuh orang dewasa di Malaysia berada dalam kategori berat badan berlebihan atau obes. 1 daripada 3 orang dewasa tidak cukup aktif secara fizikal. 1 daripada 2 orang dewasa pula menjalani gaya hidup sedentari, iaitu terlalu banyak duduk atau kurang bergerak.

Bila tengok angka ini, jelas bahawa diabetes jenis 2 bukan sekadar masalah gula. Ia berkait rapat dengan cara hidup masyarakat moden.

kesan-diabetes-pada-badan Kencing Manis Jenis 2: Protokol Rawatan Alami

Kesan-kesan diabetes

Diabetes jenis 2 kalau dibiarkan boleh memberi kesan panjang kepada badan. Antara tanda yang biasa berlaku ialah cepat letih, kerap haus, kerap kencing, penglihatan kabur, luka lambat sembuh dan kaki terasa kebas.

Kesan yang lebih serius pula boleh melibatkan masalah saraf, masalah buah pinggang, masalah mata, penyakit jantung, strok dan luka kaki yang susah pulih. Ini berlaku kerana gula darah yang tinggi dalam jangka panjang boleh merosakkan salur darah dan saraf.

Sebab itu diabetes tidak boleh ditunggu sampai teruk baru mahu diurus. Bila seseorang sudah tahu bacaan gula mula tinggi, itulah masa untuk susun semula cara hidup.

Punca diabetes jenis 2

Bagi saya, cara paling mudah untuk faham diabetes jenis 2 ialah begini: badan sudah penat mengurus gula dan tenaga.

Bila seseorang selalu makan makanan yang cepat menaikkan gula, minum air manis, kurang bergerak, tidur tidak cukup, berat badan naik dan stres berpanjangan, badan lama-kelamaan boleh menjadi kurang sensitif terhadap insulin.

Makanan tinggi karbohidrat dan gula memberi beban kepada sistem gula darah. Bila otot jarang digunakan, glukosa kurang dibakar sebagai tenaga. Bila lemak perut bertambah, keradangan dan rintangan insulin boleh menjadi lebih kuat. Bila stres dan tidur pula tidak terkawal, hormon badan juga boleh mengganggu bacaan gula.

Sebab itu punca diabetes jenis 2 bukan satu perkara sahaja. Ia gabungan makanan, usus, keradangan, pergerakan, berat badan, stres, tidur dan keadaan badan secara keseluruhan.

Protokol rawatan diabetes kendiri: 7 lapis penting

Untuk mengurus diabetes jenis 2 secara alami, saya susun ia kepada 7 lapis penting. Semua lapis ini perlu diberi perhatian kerana ia saling menyokong antara satu sama lain. Ini bukan susunan yang bermaksud satu bahagian lebih penting dan satu bahagian tidak penting. Kesemuanya bekerja bersama.

Tujuh lapis itu ialah diet dan kesihatan usus, kurangkan keradangan, aktiviti fizikal dan kawalan berat badan, kawal stres dan HPA-axis, vitamin serta mineral penting, herba sokongan, dan pendekatan perubatan moden.

Inilah protokol rawatan diabetes kendiri yang lebih tersusun. Bila semua lapis ini dijaga, kita tidak hanya mengejar bacaan gula, tetapi membina semula sistem tubuh yang membantu gula, insulin, otot, usus, stres dan keradangan bekerja dengan lebih baik.

makanan-diabetes-nusantara Kencing Manis Jenis 2: Protokol Rawatan Alami

Step 1: Diet dan kesihatan usus

Lapisan pertama dalam protokol rawatan diabetes jenis 2 ialah diet dan kesihatan usus. Ini asas besar kerana apa yang masuk ke dalam badan setiap hari akan menentukan bagaimana gula darah, insulin, keradangan dan tenaga badan bekerja.

Bagi saya, kesihatan usus tidak boleh dipisahkan daripada diabetes jenis 2. Usus bukan sekadar tempat makanan lalu. Dalam usus ada bakteria baik, enzim, serat, proses penyerapan nutrien dan hubungan rapat dengan sistem keradangan badan. Bila usus rosak, pemakanan tidak tersusun, terlalu banyak gula dan makanan proses, badan lebih mudah masuk ke dalam keadaan metabolik yang tidak stabil.

Ada empat peraturan penting dalam bahagian diet dan kesihatan usus ini. Keempat-empatnya penting dan saling menyokong dalam protokol rawatan diabetes kendiri.

Kurangkan karbohidrat dan lebihkan protein

Peraturan pertama ialah kurangkan karbohidrat berlebihan dan lebihkan protein.

Diabetes jenis 2 sangat berkait dengan cara badan mengurus gula daripada makanan. Karbohidrat seperti nasi, roti, mee, kuih, biskut, tepung dan minuman manis akan dipecahkan menjadi gula dalam badan. Bila jumlahnya terlalu banyak, gula darah lebih mudah naik, terutama bagi orang yang sudah ada rintangan insulin.

Sebab itu langkah paling asas ialah kurangkan beban karbohidrat. Kalau sebelum ini nasi penuh sepinggan, mula kurangkan. Kalau minum air manis setiap hari, buang air manis dahulu. Kalau selalu makan kuih, roti dan biskut, mula hadkan.

Dalam masa yang sama, lebihkan protein. Protein membantu kenyang lebih lama, mengurangkan keinginan makan berulang, dan membantu badan membina serta menjaga otot. Otot penting kerana otot menggunakan glukosa sebagai tenaga.

Contoh protein yang mudah ialah telur, ikan, ayam, daging, tempe dan tauhu. Bila protein cukup, kita kurang mudah lapar dan kurang cenderung mencari makanan manis atau karbohidrat berlebihan.

Makan makanan berfermentasi

Peraturan kedua ialah makan makanan berfermentasi.

Makanan berfermentasi ialah makanan yang melalui proses penapaian. Dalam proses ini, bakteria baik atau mikroorganisma tertentu membantu mengubah makanan itu menjadi lebih mesra kepada usus. Sebab itu makanan fermentasi sering dikaitkan dengan probiotik semula jadi dan kesihatan mikrobiom usus.

Untuk diabetes jenis 2, usus yang lebih sihat boleh membantu badan mengurus keradangan, penghadaman, rasa kenyang dan metabolik dengan lebih baik. Bila usus terlalu banyak menerima gula, makanan proses dan kurang serat, keseimbangan bakteria baik boleh terganggu.

Contoh makanan fermentasi Nusantara yang sesuai ialah tempe, jeruk sayur dan budu. Tempe bagus kerana ia bukan sekadar makanan fermentasi, tetapi juga sumber protein. Jeruk sayur pula membantu menambah variasi makanan fermentasi. Budu juga makanan tradisi yang melalui proses fermentasi dan boleh digunakan dalam jumlah sederhana bersama ulam atau makanan harian.

Lebihkan sayur berserat

Peraturan ketiga ialah lebihkan sayur berserat.

Serat sangat penting dalam protokol diabetes kerana ia membantu melambatkan penyerapan gula, membuatkan perut rasa kenyang lebih lama, dan membantu usus bekerja dengan lebih baik. Bila makanan ada serat, badan tidak menerima gula secara terlalu mendadak seperti makanan yang terlalu halus dan tinggi karbohidrat.

Sayur paling utama yang saya suka letakkan di sini ialah bendi. Bendi mempunyai serat dan lendir semula jadi. Lendir pada bendi ini membuatkan ia sering dikaitkan dengan makanan yang baik untuk kawalan gula. Bendi boleh dimakan sebagai sayur, direbus, dimasukkan dalam sup atau dibuat air rendaman.

Selain bendi, peria juga sangat baik untuk dimasukkan dalam diet diabetes. Peria mempunyai rasa pahit yang kuat dan memang lama digunakan dalam amalan tradisional untuk isu gula. Ia boleh dimasak sebagai sayur atau direbus.

Kailan dan kangkung pula mudah didapati dalam makanan harian kita. Kedua-duanya boleh dijadikan sayur rendah karbohidrat dan berserat. Yang penting, cara masak jangan rosakkan tujuan asal. Jangan terlalu banyak sos manis, tepung, minyak berlebihan atau campuran yang menaikkan gula.

Cari makanan penting untuk diabetes

Peraturan keempat ialah masukkan makanan penting untuk diabetes.

Antara makanan yang saya anggap wajib dicari ialah flaxseed atau biji rami, ikan berminyak dan cuka epal.

Flaxseed, atau dalam Bahasa Melayu disebut biji rami, kaya dengan serat dan lemak baik. Saya sebut dua-dua nama kerana ramai orang lebih kenal istilah flaxseed berbanding biji rami. Untuk penggunaan, flaxseed lebih baik dihancurkan atau dikisar kasar supaya badan lebih mudah mendapat manfaatnya. Ia boleh dicampur dalam makanan atau diminum bersama air.

Ikan berminyak pula seperti ikan kembung, sardin, salmon atau tenggiri mengandungi lemak baik seperti omega-3. Lemak baik ini penting untuk sokongan metabolik dan keradangan. Dalam konteks diabetes jenis 2, kita bukan hanya mahu kawal gula, tetapi juga mahu jaga salur darah, jantung dan keradangan dalam badan.

Cuka epal juga sering digunakan sebagai sokongan dalam pengurusan gula darah. Cara mudah, campurkan sedikit cuka epal ke dalam air. Ia boleh diambil bersama rutin makan tertentu secara sederhana.

Empat peraturan ini ialah asas penting dalam diet dan kesihatan usus untuk diabetes jenis 2. Karbohidrat perlu dikawal, protein perlu cukup, makanan fermentasi membantu usus, sayur berserat membantu kestabilan gula, dan makanan sokongan seperti flaxseed, ikan berminyak serta cuka epal membantu badan dari sudut serat, lemak baik dan metabolik.

Step 2: Kurangkan keradangan dalam badan

Lapisan kedua dalam protokol rawatan diabetes kendiri ialah mengurangkan keradangan dalam badan.

Keradangan ini penting kerana bila badan berada dalam keadaan radang, sistem tubuh menjadi lebih berat untuk bekerja. Gula darah, insulin, otot, sendi, saraf, penghadaman dan tenaga harian semuanya boleh terkesan. Sebab itu dalam usaha mengurus diabetes jenis 2, kita tidak boleh hanya fikir tentang gula. Kita juga perlu fikir bagaimana mahu mengurangkan keradangan yang mengganggu perjalanan sistem tubuh.

Elak makanan yang menambah radang

Perkara pertama ialah elakkan makanan yang menambah keradangan. Makanan proses, makanan bergula tinggi, minyak terpakai berulang, makanan segera, jajan, tepung berlebihan dan minuman manis boleh membuatkan badan menjadi lebih “panas” dari dalam.

Bila makanan seperti ini menjadi rutin harian, badan mudah rasa berat, cepat letih, sendi rasa tidak selesa, perut tidak selesa dan gula darah pun lebih susah stabil. Dalam protokol diabetes kendiri, makanan seperti ini perlu dikurangkan kerana ia bukan sahaja menaikkan gula, tetapi juga menambah beban kepada sistem tubuh.

Berhati-hati dengan aktiviti harian

Perkara kedua ialah berhati-hati dalam aktiviti harian. Ramai orang hanya fikir keradangan datang daripada makanan. Sebenarnya aktiviti harian juga boleh menambah keradangan, terutama bila badan selalu menerima tekanan fizikal.

Tekanan pada sendi, terseliuh, terkehel, salah urat, otot tegang, bahu keras, pinggang sakit, leher tegang dan badan yang terlalu lama dipaksa bekerja tanpa rehat boleh membuatkan tubuh berada dalam keadaan tidak selesa. Bila badan selalu sakit, tegang dan tidak selesa, pergerakan pun berkurang. Bila pergerakan berkurang, otot kurang menggunakan tenaga. Bila otot kurang bekerja, pengurusan gula dalam badan juga boleh menjadi lebih lemah.

Banyakkan rempah dan herba anti radang

Perkara ketiga ialah banyakkan rempah dan herba yang membantu melawan keradangan. Dalam dapur orang kita, banyak bahan yang memang sudah lama digunakan untuk menyokong kesihatan tubuh.

Contohnya kunyit, lada hitam, halia, serai, lengkuas, bawang putih dan daun kari. Kunyit terkenal dengan sifat anti radang. Lada hitam pula sering digabungkan dengan kunyit kerana ia membantu penyerapan bahan aktif dalam kunyit. Halia dan serai pula mudah digunakan dalam masakan atau minuman harian.

Buat rawatan untuk hilangkan sakit, angin dan ketegangan badan

Perkara keempat, dan ini bahagian yang paling penting bagi saya, ialah buat rawatan untuk menghilangkan sakit, angin dan ketegangan dalam badan.

Bila badan sakit, tegang, banyak angin, sendi tidak selesa, otot keras, urat rasa tertarik atau badan rasa berat, sistem tubuh tidak bergerak dengan lancar. Peredaran terasa terganggu. Pergerakan jadi terbatas. Tidur pun boleh terganggu. Bila badan tidak selesa, stres tubuh juga meningkat.

Sebab itu rawatan tubuh sangat penting dalam melawan keradangan. Rawatan yang betul boleh membantu badan rasa lebih ringan, melancarkan pergerakan, mengurangkan ketegangan, membuatkan otot lebih selesa, dan membantu tubuh kembali bekerja dengan lebih baik. Bila sistem tubuh lebih lancar, badan lebih mudah melawan keradangan.

Di sinilah rawatan seperti Terapi Sentuhan Ajaib boleh membantu sebagai sokongan penjagaan tubuh. Bagi penghidap diabetes jenis 2, badan yang ringan, kurang tegang, kurang sakit dan lebih selesa untuk bergerak adalah satu kelebihan besar. Bila badan lebih selesa, lebih mudah untuk berjalan, membuat senaman ringan, menjaga tidur dan meneruskan protokol rawatan diabetes kendiri.

senaman-diabetes-soleus-squat Kencing Manis Jenis 2: Protokol Rawatan Alami

Step 3: Aktiviti fizikal dan kawalan berat badan

Lapisan ketiga dalam protokol rawatan diabetes kendiri ialah aktiviti fizikal dan kawalan berat badan.

Bila bercakap tentang senaman untuk diabetes jenis 2, jangan terus bayangkan senaman berat, high intensity training, lari laju, angkat besi atau latihan yang terlalu memaksa badan. Untuk ramai orang, senaman ringan yang dibuat konsisten sudah sangat membantu.

Panduan utama saya mudah: setiap inci tubuh kita mesti bergerak.

Bahagian tubuh yang jarang bergerak itulah selalunya menjadi punca badan rasa tidak sihat. Sendi jadi kaku. Otot jadi lemah. Peredaran rasa tidak lancar. Badan cepat lenguh. Bila badan kurang bergerak, otot kurang menggunakan tenaga. Bila otot kurang menggunakan tenaga, gula dalam darah pun lebih susah digunakan dengan baik.

Senaman seluruh tubuh

Senaman yang baik ialah senaman yang membuatkan seluruh tubuh bergerak. Bukan gerakan kaku satu arah seperti robot, tetapi gerakan yang melibatkan banyak sendi, banyak otot dan pelbagai arah.

Antara contoh senaman seluruh tubuh ialah seni silat, taici, senaman regangan dinamik, mobility exercise, senaman pernafasan dengan gerakan tangan dan kaki, atau apa sahaja latihan yang membuatkan tubuh bergerak secara hidup.

Seni silat contohnya bukan sekadar bela diri. Dalam pergerakan silat ada langkah, pusingan badan, imbangan, tangan, kaki, pinggang, lutut dan pernafasan. Taici pula lembut, perlahan dan sesuai untuk melatih keseimbangan, pergerakan sendi dan kawalan tubuh.

Khusus untuk diabetes: otot betis ialah kunci utama

Untuk diabetes jenis 2, ada satu bahagian yang sangat penting diberi perhatian, iaitu otot betis.

Otot betis bukan sekadar otot untuk berjalan. Ia antara tempat penting tubuh memproses dan menggunakan gula sebagai tenaga. Bila otot betis bergerak, gula dalam darah boleh digunakan oleh otot. Sebab itu bagi penghidap diabetes jenis 2, mengaktifkan otot betis ialah salah satu kunci utama.

Masalahnya, ramai orang duduk terlalu lama. Bila duduk lama, otot betis kurang bekerja. Kaki seperti “tidur”. Gula daripada makanan pula masuk ke dalam darah, tetapi otot tidak cukup aktif untuk menggunakannya.

Antara pergerakan utama untuk aktifkan otot betis ialah brisk walk, squat ringan dan seated soleus raise.

Brisk walk ialah berjalan laju. Bukan lari. Bukan paksa diri sampai semput. Cukup berjalan dengan langkah sedikit laju supaya badan panas, kaki bekerja dan nafas mula aktif. Waktu paling baik ialah selepas makan, sekitar 10 hingga 15 minit. Ini membantu otot menggunakan tenaga daripada makanan.

Squat ringan pula ialah senaman mencangkung. Ia mengaktifkan otot kaki, paha, punggung, lutut, pinggul dan betis. Untuk permulaan, buat secara sederhana. Berdiri dengan kaki selesa, turunkan badan perlahan seperti mahu mencangkung, kemudian naik semula. Buat ikut kemampuan badan. Yang penting, gerakan itu mengaktifkan otot kaki dan betis.

Seated soleus raise pula ialah gerakan mengangkat tumit ketika duduk. Caranya mudah. Duduk di kerusi, tapak kaki rata di lantai. Kemudian angkat tumit setinggi yang mampu, jari kaki masih menyentuh lantai. Turunkan semula. Ulang berulang kali secara perlahan dan terkawal.

Gerakan ini nampak kecil, tetapi ia mengaktifkan otot soleus di bahagian betis. Ia sangat sesuai untuk orang yang banyak duduk bekerja, memandu atau berada lama di meja. Daripada duduk berjam-jam tanpa pergerakan, lebih baik aktifkan betis dari semasa ke semasa.

Dalam bahasa mudah, untuk diabetes jenis 2, jangan biarkan otot betis tidur. Otot betis ialah antara kunci utama untuk membantu tubuh menggunakan gula sebagai tenaga.

Step 4: Kawalan stres dan tidur

Lapisan keempat dalam protokol rawatan diabetes kendiri ialah kawalan stres dan tidur.

Stres bukan sekadar rasa serabut dalam kepala. Stres memberi kesan kepada seluruh sistem tubuh. Bila badan terlalu lama berada dalam tekanan, hormon stres boleh mengganggu gula darah, tidur, selera makan, keradangan dan tenaga harian.

Sebab itu dalam diabetes jenis 2, kawalan stres bukan perkara sampingan. Ia sebahagian daripada rawatan kendiri.

Pastikan keradangan tubuh turun

Perkara pertama ialah pastikan keradangan tubuh turun. Badan yang sakit, tegang, lenguh, penuh angin, tidak selesa dan berat akan membuatkan stres tubuh meningkat. Kadang-kadang seseorang nampak seperti stres emosi, tetapi sebenarnya tubuhnya juga sedang stres kerana otot tegang, sendi sakit, tidur tidak lena dan pergerakan tidak lancar.

Sebab itu rawatan tubuh seperti TSA atau urut boleh membantu. Bila sakit berkurang, angin dalam badan keluar, otot lebih lembut, sendi lebih selesa dan tubuh terasa ringan, sistem tubuh lebih mudah kembali tenang.

Ambil rehat, berjalan dan lihat alam

Perkara kedua ialah ambil rehat. Jangan paksa badan dan fikiran bekerja tanpa henti. Tubuh manusia bukan mesin. Bila penat, rehat. Bila kepala penuh, keluar berjalan. Bila emosi berat, lihat alam.

Berjalan ringan, melihat pokok, langit, air, tanah, cahaya pagi dan suasana luar boleh membantu badan keluar daripada keadaan tertekan. Kadang-kadang kita tidak perlukan penyelesaian besar. Kita cuma perlu berhenti sekejap, bernafas dan biarkan tubuh rasa lapang.

Ubah persekitaran jika toksik

Perkara ketiga ialah ubah persekitaran jika ia toksik. Ini perkara yang ramai orang takut sebut. Tetapi bagi saya, kalau satu persekitaran terlalu menekan, terlalu merosakkan emosi, terlalu memenatkan badan dan membuatkan kesihatan semakin jatuh, kita kena berani fikir jalan keluar.

Jangan takut berhenti kerja jika kerja itu benar-benar memusnahkan tubuh. Jangan takut keluar daripada persekitaran yang toksik jika ia membuatkan badan semakin sakit, tidur semakin rosak dan hidup semakin sempit. Tubuh ini kita mahu pakai lama. Bertahan dalam persekitaran toksik sampai badan rosak bukan satu pengorbanan yang berbaloi.

Banyakkan amalan dan berdoa

Perkara keempat ialah banyakkan amalan dan berdoa. Bagi saya, ini sangat membantu. Bila seseorang ada pegangan, doa dan amalan yang menenangkan jiwa, stres lebih mudah dikawal. Hati yang tenang memberi kesan kepada tubuh. Fikiran yang lebih reda membantu badan keluar daripada keadaan tegang.

Doa, zikir, solat, membaca al-Quran, duduk diam seketika, muhasabah dan amalan rohani lain boleh menjadi sebahagian daripada rawatan diri. Dalam penyakit kronik seperti diabetes jenis 2, kekuatan dalaman sangat penting. Bila hati kuat, disiplin lebih mudah dijaga. Bila jiwa tenang, tubuh lebih mudah diajak berubah.

Tidur cukup dan disiplin waktu tidur awal

Perkara kelima ialah tidur mesti cukup dan waktu tidur mesti dijaga. Tidur bukan perkara kecil. Bila tidur tidak cukup, badan lebih mudah lapar, craving makanan manis, cepat letih, emosi tidak stabil dan gula darah lebih susah dikawal.

Tidur lewat juga boleh merosakkan ritma tubuh. Tubuh ada waktunya untuk pulih. Kalau setiap malam tidur terlalu lewat, badan tidak mendapat peluang yang cukup untuk membaiki sistemnya.

Sebab itu saya tekankan disiplin tidur awal. Jangan tunggu mengantuk sangat baru tidur. Tetapkan waktu. Kurangkan skrin sebelum tidur. Jangan makan berat terlalu lewat. Bagi tubuh peluang untuk rehat.

Step 5: Vitamin dan mineral penting

Lapisan kelima ialah vitamin dan mineral penting.

Badan memerlukan nutrien tertentu untuk menyokong fungsi metabolik. Antara yang sering diberi perhatian ialah vitamin D, vitamin C, omega-3, zink, selenium, magnesium dan kromium.

Vitamin dan mineral bukan hiasan dalam protokol ini. Ia membantu tubuh bekerja dengan lebih teratur. Bila nutrien penting tidak cukup, tubuh lebih susah pulih, tenaga mudah jatuh, keradangan lebih susah dikawal dan sistem metabolik tidak bekerja sebaiknya.

Cara paling baik ialah dapatkan nutrien daripada makanan harian dahulu. Ikan berminyak, telur, sayur, ulam, kekacang tertentu dan makanan laut boleh membantu. Jika mahu gunakan suplemen, susun mengikut keperluan badan dan jangan ambil secara rawak.

herba-diabetes-kayu-manis-halba-peria Kencing Manis Jenis 2: Protokol Rawatan Alami

Step 6: Herba sokongan

Lapisan keenam ialah herba sokongan.

Dalam amalan alami, herba tidak patut diletakkan sebagai asas paling bawah. Asasnya tetap diet, usus, keradangan, pergerakan, stres dan nutrien. Tetapi apabila asas mula disusun, herba boleh menjadi sokongan yang baik.

Saya fokuskan kepada tiga bahan yang mudah ada dan dekat dengan budaya kita: kayu manis, halba dan peria katak.

Kayu manis boleh direbus dan diminum seperti air herba. Rasanya lebih mudah diterima. Untuk permulaan, kayu manis sahaja pun memadai.

Halba boleh direndam atau direbus. Airnya boleh diminum sedikit demi sedikit. Halba ada rasa dan bau yang kuat, jadi mula dengan jumlah kecil dahulu.

Peria katak pula boleh dipotong, direbus, kemudian diminum air rebusannya. Rasanya pahit, jadi mula secara sederhana.

Cara yang baik ialah gunakan herba ini sebagai sebahagian daripada protokol, bukan berdiri sendiri. Diet dijaga, usus dijaga, keradangan diturunkan, tubuh bergerak, stres dikawal, nutrien dicukupkan, barulah herba menjadi sokongan yang lebih kuat.

Step 7: Pendekatan perubatan moden

Lapisan ketujuh ialah pendekatan perubatan moden.

Dalam 7 lapis protokol ini, pendekatan moden juga ada tempatnya. Pemantauan bacaan gula, pemeriksaan berkala dan ubat tertentu boleh menjadi sebahagian daripada pengurusan diabetes, terutama apabila bacaan gula sudah tinggi atau ada risiko komplikasi.

Namun, kesilapan besar ialah bila seseorang hanya bergantung kepada ubat tetapi asas hidup tidak berubah. Makan masih sama, air manis masih sama, tidur masih rosak, badan masih tidak bergerak, stres masih tinggi. Kalau begitu, punca besar masalah masih belum disentuh.

Sebab itu pendekatan yang saya pegang ialah gabungkan ilmu moden dengan disiplin rawatan alami. Pantau bacaan, faham badan sendiri, dan pada masa sama bina semua lapis penting dalam protokol ini.

Penutup

Jika anda penghidap diabetes jenis 2, cubalah protokol rawatan alami ini secara berperingkat.

Mulakan dengan asas. Betulkan diet dan kesihatan usus. Kurangkan keradangan. Bergerak selepas makan dan aktifkan otot betis. Kawal tidur dan stres. Lengkapkan vitamin dan mineral penting. Kemudian tambah sokongan herba seperti kayu manis, halba dan peria katak. Akhir sekali, gunakan pendekatan moden sebagai alat pemantauan dan pengurusan apabila diperlukan.

Ini pendekatan natural dan secara umumnya ringan apabila dibuat dengan cara yang sederhana dan masuk akal. Tidak perlu ubah semua perkara dalam satu hari. Yang penting, mula susun semula badan melalui semua lapis penting ini secara konsisten.

Bagi saya, diabetes jenis 2 perlu dilawan dengan ilmu dan disiplin. Bukan sekadar takut kepada gula, tetapi faham bagaimana badan bekerja. Bila kita faham, kita tidak mudah bergantung kepada satu petua sahaja. Kita mula nampak bahawa perubahan sebenar datang daripada gabungan banyak perkara kecil yang dibuat secara konsisten.

Penafian: Artikel ini hanya untuk perkongsian idea dan pendidikan umum. Ia bukan nasihat perubatan peribadi, bukan diagnosis, dan bukan arahan untuk menghentikan apa-apa rawatan. Jika anda sedang mengambil ubat, menggunakan insulin, hamil, ada masalah buah pinggang, hati, jantung atau keadaan kesihatan tertentu, dapatkan nasihat doktor atau ahli kesihatan bertauliah sebelum membuat perubahan besar pada diet, senaman, herba atau suplemen.

Rujukan

National Health and Morbidity Survey 2023, World Health Organization Diabetes Fact Sheet, dan kajian berkaitan soleus push-up serta metabolisme glukosa.